Thursday, August 21, 2014

MH17 - Dalam kenangan - sedikit masa untuk bertafakur rakyat Malaysia ...

(ketika menulis... saya sangat berhati-hati pada setiap patah dan kata untuk menjaga sensetiviti keluarga penumpang MH17 -admin blog GCC-)

Boleh kita rumuskan bahawa ianya dugaan buat seluruh rakyat Malaysia apabila tragedi MH17 berlaku telah mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

Dan hari ini....  sejumlah 20 jenazah akan dibawa kembali ke Malaysia untuk disemadikan ... dan kira-kira tepat pada pukul 10.45 minit pagi (hari) ini, telah diumumkan sebagai waktu berkabung rakyat Malaysia.



kami sediakan sedikit perkongsian... mengenai isu berkabung...

Isu Berkabung,
Atau berdiri tafakkur?
Pertanyaan masih banyak.
Pandangan ana al-faqir ilallah ini;
"Cukuplah sebagai tanda hormat dan simpati dengan berdoa kepada mereka, tidak perlu kepada acara sambutan dan penetapan tertentu, kerana ianya akan membuka ruang kepada acara lain selepas ini dan dibimbangi meniru budaya orang bukan Islam".
AAM, Doha, 22/8/2014.
Di bawah ini petikan dua pandangan tentang isu ini yang bereder di kalangan masyarakat di alam maya, baca dan teliti;
[21/08 10:24 PM] +60 12-622 1939: ⇨JUMAAT - 22.08.2014
Di minta semua rakyat seluruh MALAYSIA memakai baju HITAM @ PUTIH (kita bekabung) untuk menghormati mangsa MH17 yang akan tiba hari JUMAAT ini.
‪#‎Moho‬
Pendapat Pertama:
Dari segi islam tiada dianjurkan untuk pakai baju hitam atau putih atas penghormatan atas kematian atau sesuatu musibah. Pemakaian baju hitam jika atas niat untuk perkara tersebut tidak dibolehkan kerana mengikut amalan orang kristian. Apa yg terbaik amalan di dalam syariat islam hanya berdoa memohon keampunan dan kerahmatan dari Allah. Jika sekadar pakai tidak mengapa.
Benar... itu semua amalan orang2 kafir....
jawapan:
Amalan perkabungan hanya khas bagi wanita sahaja, sebagaimana difahami dalam hadis di bawah:
Maksudnya: Tidak halal bagi seseorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat berkabung atas kematian seseorang, kecuali ke atas suami selama empat bulan sepuluh malam.
Direkod oleh Bukhari (no: 5334), dan Muslim (no: 1487).
Manakala kaum lelaki, tidak disyariatkan berkabung atas kematian. Perkara ini disepakati oleh ulama. Kita boleh lihat dalam kitab-kitab feqah klasik dan moden yang membahaskan hukum berkabung, ulama hanya membahaskan tentang perkabungan wanita.
Cuma, ada segelintir ulama yang mengisyaratkan kepada keharusan berkabung bagi lelaki, dalam tempoh tiga hari sahaja. Contohnya dalam kitab al-Inshaf 6/279 dan Matolib Uli al-Nuha 1/924.
Itupun, hanya bagi individu yang ditimpa musibah kematian dari kalangan saudara maranya sahaja.
Manakala, adat berkabung atas kematian pemimpin, dengan cara seperti merendahkan bendera, memakai pakaian serba hitam, songkok berlilit dan seumpamanya, ia satu perkara yang tidak ada asas dalam syarak dan tidak didapati sumbernya dalam agama, dan perbuatan salaf. Malahan, ketika wafat pemimpin paling agung, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sahabat tidak melakukan perkabungan seumpama ini.
Ini menunjukkan ia tidak syar'ie. Dan lebih dibimbangi amalan umpama ini diceduk daripada adat masyarakat bukan Islam. Sedangkan kita dilarang meniru adat mereka.
Fatwa Shaikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin rahimahullah:
Soalan :
Apakah boleh memakai pakaian hitam untuk berkabung di atas kematian seseorang khususnya apabila orang tersebut suami ?
Jawapan :
Memakai pakaian hitam ketika terjadi musibah merupakan syi’ar yang bathil yang tidak ada asalnya dalam Islam. Seseorang ketika terjadi musibah hendaklah melakukan apa yang disyariatkan. Dia boleh mengucapkan :
Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun. Allahuma jurnii fii musiibatii wakhluflii khairan minha..
Ertinya : “Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan benar-benar kepada-Nya kami akan kembali. Ya, ALLAH berilah aku balasan (pahala) di dalam musibahku dan berilah aku ganti yang lebih baik dari musibah tersebut. ”
Bila dia mengucapkan kalimat itu dengan rasa iman dan mengharapkan pahala maka ALLAH Ta’ala akan memberinya balasan atas musibah yang menimpa dan akan mengganti musibah tersebut dengan hal yang lebih baik darinya.
PENDAPAT KEDUA :-
Hukum Tafakkur Dan Berkabung
Submitted by FatwaMalaysia on 21 August 2014 - 8:31am
Akidah
ISU:
Saya ingin bertanya tentang isu tafakkur dan berkabung. Adakah dalam Islam ada amalan tafakkur sebagai tanda kedukaan atas kematian sepertimana dalam ke MH17. Begitu juga tentang amalan berkabung. Dalam Islam apa yang sepatutnya dilakukan. Mohon penjelasan. Terima kasih.
PENJELASAN:
Faham bertafakkur dalam Islam tidaklah sama dengan apa yang dilakukan sekarang ini yang dipanggil ‘moment of silence’ (tunduk selama beberapa minit) bagi menghormati orang yang mati. Tafakkur membawa makna “kegiatan hati untuk memahami makna setiap perkara bagi mencapai apa yang dihajati. Tafakkur juga merupakan pancaran hati yang dengannya kebaikan, keburukan, manfaat dan kemudaratan akan menjadi jelas (al-Jurjani, Kitab al-Ta’rifat, ms.77)
Namun perbuatan tunduk selama beberapa minit (moment of silence) bagi menghormati orang yang mati tidaklah bertentangan dengan syarak kerana ia sekadar tanda penghormatan yang bersifat universal dan tidak melibatkan apa-apa ritual bacaan dan pergerakan yang menyerupai amalan keagamaan agama lain. Penekanan dalam perbuatan 'moment of silence' lebih kepada bagi menunjukkan kesedihan, ingatan dan penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia.
Namun sekiranya perbuatan tersebut disertai dengan ritual keagamaan agama lain seperti menyalakan lilin atau bacaan-bacaan tertentu maka ia menjadi tidak selari dengan amalan Islam dan dilarang oleh syarak.
Asas terhadap keharusan tersebut boleh diambil dari perbuatan Rasulullah yang bangun menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan baginda atas dasar kemanusiaan. Begitu juga dengan kisah seorang Sahabat Nabi bernama Qays Ibn Syamas yang pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menghadiri majlis kematian ibunya yang beragama Nasrani, Nabi membenarkan dan menyuruhnya berjalan di hadapan jenazah sebagai tanda hormat. (Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Ahkam ahl Zimmah, vol.2 ms. 434).
Walaupun apa yang dilakukan oleh Nabi dan Qays, tidaklah benar-benar sama dengan perbuatan 'moment of silence', namun kedua-dua perbuatan tersebut memberi isyarat bahawa tidak salah untuk menghormati orang yang meninggal melalui perbuatan yang tidak bertentangan dengan syariah, termasuk bukan Islam. Islam sendiri menggalakkan kita mengambil iktibar dari kematian. Namun yang terbaik untuk dilakukan bagi menghormati orang Islam yang meninggal dunia ialah dengan mendoakan mereka dan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an.
Sementara perbuatan berkabung bagi menunjukkan tanda dukacita kepada orang yang meninggal dunia seperti mengibarkan bendera separuh tiang dan memakai pakaian berwarna serba hitam atau suram adalah dibenarkan selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur atau ritual keagamaan agama bukan Islam yang bertentangan dengan syarak.
Dalam perbahasan para ulama amalan berkabung banyak merujuk secara khusus kepada apa yang dilakukan oleh seorang wanita yang kehilangan suami. Istilah yang digunakan ialah al-ihdad/al-hadad yang bermaksud menahan diri daripada berhias.
Menurut istilah pula, perkabungan memberi erti meninggalkan perbuatan memakai haruman, perhiasan, celak, minyak, sama ada yang harum ataupun tidak, iaitu yang khusus bagi tubuh. Namun ia boleh dikiaskan kepada konteks yang lebih besar termasuk dalam konteks masyarakat dan Negara seperti dalam kes MH17. Maka keputusan untuk menetapkan beberapa hari untuk tujuan berkabung adalah termasuk dalam perkara yang harus.
Malah dalam hal memakai pakaian berwarna hitam, terdapat perbahasan yang mengatakan bahawa Keempat-empat mazhab mengharuskan (iaitu dalam konteks wanita kematian suami) untuk memakai pakaian berwarna hitam. (Wahbah al-Zuhayli, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jild 7. 662
Wallahu a'lam.